Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

KUALA LUMPUR – Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) giat meneroka penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi dengan menyaring, mereka bentuk dan melaksanakan penyelesaian untuk meningkatkan produktiviti industri perladangan kelapa sawit Malaysia dan mengurangkan pergantungan kepada buruh manusia.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, konsortium ini memberi tumpuan kepada teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam rangka kerja Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang melibatkan penggunaan teknologi seperti dron, robot dan penderia untuk operasi bersepadu dan sistematik.

Ini kerana, usaha syarikat perladangan untuk menarik penduduk tempatan menyertai tenaga kerja perladangan kurang berjaya kerana mereka terus menolak pekerjaan di ladang yang mereka anggap sebagai sektor ‘4D’ (kotor, sukar, berbahaya, merendahkan).

”Persepsi mereka masih tidak berubah walaupun telah banyak alat berjentera untuk membantu pekerja di ladang kelapa sawit untuk mengangkat tandan yang dituai, menyembur racun herba dan racun perosak, dan penggunaan baja pada pokok sawit.

”Oleh itu, industri minyak sawit Malaysia terus bergantung kepada pekerja asing, terutama untuk menuai buah sawit,” katanya dalam kenyataan di sini.

Justeru, MARCOP mahu mempercepatkan usaha industri minyak sawit dalam menghasilkan sistem penuaian yang menjimatkan kos dengan fokus kepada teknologi berkaitan kecerdasan buatan yang sesuai dalam IR 4.0 yang baru muncul.

MARCOP ditubuhkan untuk membangunkan teknologi dan inovasi melalui perkongsian kepakaran penyelidikan dengan penggiat industri, teknokrat dan ahli akademik dalam usaha menangani kekurangan buruh.

Sejak ia dilancarkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada November tahun lalu, MARCOP telah mengadakan perbincangan dengan perunding dan pembekal teknologi seperti dron untuk menuai buah tandan segar (BTS) kelapa sawit.

Beberapa pembekal teknologi juga telah mengadakan demonstrasi teknologi mereka yang boleh membantu mengurangkan pergantungan industri minyak sawit kepada buruh.

Beliau berkata, penanam sawit telah melaporkan bahawa BTS tidak dituai setiap bulan pada 2021 kerana kekurangan buruh.

Menurut laporan yang diterbitkan, terdapat kekurangan lebih daripada 100,000 orang pekerja yang boleh menyebabkan pengurangan besar dalam pengeluaran minyak sawit.

Kerajaan telah memperuntukkan RM30 juta melalui geran padanan dalam Bajet 2021 untuk menyokong aktiviti MARCOP manakala industri telah
menyumbang RM30 juta melalui kutipan ses daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Oleh itu, MARCOP mempunyai jumlah peruntukan RM60 juta untuk penyelidikan dan pengkomersialan teknologi mekanisasi.

Ahmad Parveez menambah, penubuhan MARCOP selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 Kerajaan Malaysia (2021-2025), yang menetapkan pelan hala tuju pembangunan negara yang juga memberi tumpuan mengurangkan pengambilan pekerja asing berkemahiran rendah.

Kerajaan juga telah menggariskan beberapa langkah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi termasuk menggalakkan industri bergerak ke arah automasi dan mekanisasi. – MalaysiaGazette