Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan ahli Dewan Rakyat, jangan memberikan alasan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai merosakkan kewangan negara.

Hakikatnya, kata mantan Perdana Menteri itu, satu sen pun prinsipal hutang 1MDB tidak pernah dibayar.

Beliau mendedahkan, pada 2018 hutang 1MDB berjumlah RM32 bilion, diikuti 2019 hutang RM32 bilion, 2020 hutang RM32 bilion dan 2021 hutang RM32 bilion.

“Adalah tidak betul untuk mencanangkan bahawa rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB.

“Misalnya, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima dari Goldman Sachs bukanlah dari wang rakyat. Itu wang Goldman Sachs yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB,” katanya pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang Dipertuan Agong di Parlimen petang ini.

Ahli Parlimen Pekan juga menyediakan fakta dana-dana lain yang diterima dari DOJ berjumlah RM3 bilion, Ambank (RM2.83 bilion), KPMG (RM340 juta) dan Deloittes (RM324 juta).

Kata beliau, semua itu yang berjumlah hampir RM23 bilion adalah bukan wang rakyat, tetapi sepatutnya boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Ini, tegas Najib, tidak termasuk aset 1MDB iaitu penjimatan daripada penyelesaian perjanjian berat sebelah Penjana Elektrik Bebas (IPP) peninggalan zaman Perdana Menteri keempat (Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang diselesaikan dengan bantuan 1MDB dengan mengambil alih IPP.

“Ini telah menjimatkan sebanyak RM50 bilion. Penjimatan inilah antara sebab rizab tunai Petronas naik daripada RM30 bilion kepada RM176 bilion pada 2018, sebelum dijarah licin oleh kerajaan PH dan PN.

Mengenai pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Najib berkata, ini adalah kali keempat beliau mendesak kerajaan memenuhi permintaan rakyat untuk pengeluaran kali terakhir itu.

“Sekarang ini saya lebih optimis sebab seorang ahli dewan sebelum ini yang pernah menggelarkan usaha saya membangkitkan soal pengeluaran i-Citra ini seumpama meminang Puteri Gunung Ledang, kini sudah menyokong.

“Menteri-menteri dan pemimpin PN pun sudah u-turn dan menyokong. Jadi, kepada Menteri Kewangan, saya merayu supaya permintaan UMNO berhubung perkara ini dan kini disokong oleh parti lain dalam kerajaan, dipenuhi.

“Siapa hendak claim kredit tak kisahlah… Asalkan permintaan pengeluaran kali terakhir ini, yang sangat diharapkan oleh rakyat dapat dipenuhi kerajaan dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Boleh pulak dia cakap itu bukan duit rakyat. Duit Goldman Sachs (RM16.4 bilion), Ambank (RM2.83 bilion), KPMG (RM340 juta) dan Deloittes (RM324 juta) yang disita tulah yang dicuri daripada rakyat. Duit gomen tu bukan ke hasil daripada cukai yang dibayar oleh rakyat? Kontrak hutang 1MDB tu berapa tahun? Interest berapa? Biasalah bayar rumah / kereta pun, pada permulaan, semua bayaran untuk bayar interest je lah. Memanglah tak kurang hutang prinsipal tu. Kaki auta lah penjenayah yang dah disabit kesalahan ini.

Comments are closed.