Calon Bebas N.08 Bukit Pasir, Kapt (B) Najib Lep bercakap pada sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di PDM Panchor, Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2022.
Calon Bebas N.08 Bukit Pasir, Kapt (B) Najib Lep bercakap pada sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di PDM Panchor, Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2022.

PAGOH – Calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Najib Lep mendakwa beliau menerima sokongan secara tidak langsung daripada pemimpin Pas apabila bertanding atas tiket bebas.

Najib yang bertanding menggunakan logo Pen mendedahkan, pada hari penamaan calon Sabtu lalu, beliau ada berjumpa dengan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan memaklumkan keputusannya untuk bertanding.

“Lepas selesai proses penamaan saya bertemu dengan Nik Abduh Nik Mat yang hadir semasa penamaan calon dan saya menyatakan saya bertanding atas tiket bebas dan dia kata nanti kita bincang habis PRN.

“Dia pun mendoakan saya mendapat kemenangan dalam PRN kali ini,” katanya dalam sidang media di di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Panchor, malam tadi.

MalaysiaGazette sedang mendapatkan maklum balas daripada Ahli Parlimen Bachok.

Ditanya sekiranya mampu mempertahankan kerusi DUN Bukit Pasir, Najib berkata, beliau percaya mempunyai sokongan daripada pengundi-pengundi kawasan itu kerana pernah diberikan mandat sebelum ini.

“Saya teruja dengan jemaah yang ada, saya bebas tapi saya memiliki lebih 12 PDM dan saya rasa macam pelik.

“Pelik tapi tak mustahil boleh menang,” katanya lagi.

Pada penamaan calon PRN Johor 26 Februari lalu, Najib mengejutkan ramai pihak dengan mencalonkan dirinya sebagai calon bebas bagi kerusi Bukit Pasir.

Najib adalah satu-satunya wakil Pas sebelum DUN Johor dibubarkan, pada 22 Januari lalu.

Langkah Najib itu menyebabkan dirinya dipecat kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim turut memaklumkan Najib telah menolak satu lagi kerusi ‘boleh menang’ yang ditawarkan kepadanya.

Sebelum ini, pada PRU14, Najib dipilih sebagai ADUN di kawasan berkenaan selepas menang dengan majoriti 1,883 undi mengalahkan Noriah Mahat daripada BN. – MalaysiaGazette