RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer akhirnya di arah keluar Dewan Rakyat oleh Timbalan Yang Dipertua Speaker, Datuk Ramli Mohd Nor.

Beliau dari awal sesi persidangan petang bermula lagi, telah mengganggu perbahasan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tabung kewangan negara yang digunakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Berapa hari saya digantung?,” tanya RSN Rayer.

Ramli berkata, jika beliau berdiam diri bermakna penggantungan Ahli Parlimen Jelutong itu selama dua hari.

“Tetapi, kerana saya jawab, maka tempoh pengantungan adalah selama satu hari,” katanya.

Sepanjang perbahasan Najib, selain Rayer, turut mengganggu ialah Khalid Samad.

Ahli Parlimen Shah Alam ini nampak seperti tidak berpuas hati dengan Najib kerana tidak memberi peluang kepadanya bertanya beberapa soalan berkaitan GST dan 1MDB.

Namun, Khalid tidak dikenakan arahan keluar dewan, walaupun beliau juga tidak mendengar arahan Timbalan Speaker supaya diam. – MalaysiaGazette