Spotted without face mask, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman at a news conference after visiting the LRT crash site involving 2 trains from Gombak and Kelana Jaya at the KLCC LRT Station in Kuala Lumpur. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 25 MAY 2021.
Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Salak kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menekan Perdana Menteri supaya diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secepat mungkin.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan kenyataan berkenaan seolah memberi kata dua kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar bertindak mengikut kemahuan parti.

“Ini pemimpin dari parti saya sendiri (UMNO) yang keluarkan kenyataan seolah menekan Perdana Menteri.

“Beliau juga beri kata dua, sekiranya Perdana Menteri gagal untuk meyakinkan Yang di-Pertuan Agong, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan. Apa punya kenyataan ni?

“Kenyataan ini seolah menekan Perdana Menteri. Saya merasa kesal kerana ianya datang daripada salah seorang pemimpin besar dari parti saya sendiri,” katanya pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini.

Baru-baru ini, Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mad meminta Perdana Menteri membuat pertimbangan untuk mengadakan PRU15 dalam masa terdekat, selepas mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Mohamad berkata, perkara itu juga telah disuarakan beliau kepada Ismail Sabri sebaik sahaja BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tajuddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan, tekanan itu boleh menjejas dan menggugat kestabilan kerajaan serta usaha Perdana Menteri daripada meneruskan kerja untuk kepentingan rakyat.

Katanya, kalau parti sendiri menekan Perdana Menteri, macam mana kerajaan hendak terus berusaha dengan pelbagai inisiatif untuk kepentingan rakyat?

“Jadi, sudahlah. Stop.

“Maaflah, saya orang kecil dalam parti, (saya) dalam Dewan Rakyat ini terpaksa bersuara,” katanya.

Beliau turut membidas Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak habis-habis menekan kerajaan supaya dibenarkan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Tadi, Pekan ada bersuara mengenai i-Citra, saya tidak setuju apa yang diutarakan Najib. Perdana Menteri sudah buat kenyataan. Kerajaan dan Kabinet telah buat keputusan. Hormatilah.

“Pekan (Najib) sepatutnya menghormati keputusan Perdana Menteri yang tidak setuju dengan pengeluaran itu bukan untuk kepentingan peribadi. Kerajaan memikirkan masa depan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman seorang Pembelot ..Dahulu beliau menyatakan sebagai pahlawan melayu mesti berani membela anak bangsa tetapi nampak sangat beliau si mandeling..Amat memalukan rakyat di Pasir Salak mempunyai pembelot..
    Jika JWW Bird hidup ,mungkin Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sesuai jadi anak buah beliau.

Comments are closed.