Roger Ng. foto Bloomberg

NEW YORK – Pasukan pembela bekas Ketua Pelaburan Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng menggambarkan Tim Leissner sebagai pembohong yang biasa menyembunyikan kebenaran pada setiap masa untuk mendapatkan apa yang dia mahukan.

Peguam Ng, Marc Agnifilo, memulakan pemeriksaan balasnya terhadap Leissner pada hari Selasa dengan memalu bekas Pengarah Goldman Asia Tenggara itu dengan pembohongannya kepada pendakwa raya, ejen persekutuan, pegawai syarikat dan pengawal selia, serta beberapa isteri dan teman wanitanya yang dia sendiri akuinya.

“Adalah wajar untuk mengatakan bahawa anda telah banyak berbohong dalam hidup anda?” tanya Agnifilo.

Leissner mengakui berbohong pada banyak kesempatan tetapi mendakwa itu semua adalah masa lalu.

“Saya banyak berbohong, tuan, dan saya menyesali masa-masa itu.

“Saya sudah membuka lembaran hidup baharu,” jawabnya.

Ng, adalah satu-satunya pegawai bank Goldman Sachs yang dibicarakan dalam skandal 1MDB, dituduh bersubahat dengan Leissner untuk membantu ahli perniagaan yang masih dalam buruan, Jho Low merompak berbilion dolar daripada 1MDB.

Leissner mengaku bersalah atas tuduhan pada 2018 dan kini menjadi saksi utama kerajaan terhadap Ng.

Ng, yang mendakwa dia cuba memberi amaran kepada Goldman Sach tentang Jho Low, mempersoalkan keterangan Leissner yang mahu mengurangkan hukumannya.

Agnifilo berulang kali menghina kredibiliti Leissner semasa pemeriksaan balas.

Leissner mengakui dia berbohong dalam perbincangan awalnya dengan pendakwa raya, dalam usaha cuba meminimumkan penglibatannya sendiri dalam skandal itu sambil menuding jari kepada Ng dan bekas isterinya sendiri, Judy Chan Leissner.

“Anda melibatkan ibu kepada anak-anak anda dalam aktiviti jenayah?” tanya Agnifilo.

Leissner menjawab: “”Saya tidak berbangga dan sejak itu saya telah mengambil tanggungjawab,” jawab Leissner, sambil menambah bahawa dia “sangat takut” apabila pertama kali didekati oleh Biro Penyiasatan Persekutuan.

Disebabkan itu, dia memutuskan untuk melakukan “perkara yang betul” supaya dia dapat melihat anak-anaknya “dengan mata sendiri”.

Agnifilo membangkitkan beberapa pembohongan Leissner dalam kehidupan peribadinya.

Leissner sebelum ini mengakui dia pernah memalsukan dokumen perceraian untuk meyakinkan Chan Leissner dan, kemudian, Kimora Lee Simmons, untuk mengahwininya walaupun dia sudah berkahwin.

Malah Leissner mengakui bahawa dia telah menyakiti orang yang paling dia sayangi dengan pembohongannya.

“Saya berasa kesal setiap hari. Saya tidak tahu mengapa saya melakukannya,” katanya.

“Adakah anda fikir anda pandai berbohong?” tanya Agnifilo.

“Saya tidak fikir begitu,” kata Leissner.

Pemeriksaan balas Leissner akan diteruskan pada hari Rabu. – Bloomberg (https://www.bloomberg.com/news/articles/2022-03-01/ex-goldman-banker-ng-casts-boss-as-habitual-liar-at-1mdb-trial)