KOTA TINGGI – Tawaran Perikatan Nasional (PN) memberi air percuma 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya sekadar untuk memancing undi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, tawaran itu tidak ubah seperti janji Pakatan Harapan (PH) di Selangor yang sehingga kini masih gagal menunaikan pemberian air percuma.

“Kempen bagi air percuma ini macam di Selangor, dia nak ikut macam janji di Selangor. Mula dulu masa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masa itu janji bagi air percuma tapi sekarang ini cuba tanya orang Selangor, ada lagi?

“Ini semua pancing undi, bila sudah dapat esok, jangan jadi macam Selangor, ramai yang kata tak dapat.

“Ramai rakyat Selangor terpengaruh dan percaya kerana air percuma,” katanya pada sidang media di Felda Bukit Easter, di sini hari ini.

Semalam, PN melancarkan manifesto bagi PRN Johor di mana pemberian air percuma 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah antara tawaran yang terkandung janji pilihan raya itu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan manifesto PN itu bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat Johor yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi membidas tawaran air percuma itu yang sepatutnya boleh dilakukan pimpinan parti itu ketika menjadi Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor sebelum ini.

“Bersatulah tak payah nak janji-janji, kalau nak buat, dulu dia sudah buat. Dia dah pernah jadi Perdana Menteri, sudah jadi Menteri Besar Johor dua kali, mengapa tak buat? Sekarang baru nak buat.

“Kita harap rakyat Johor jangan terpengaruh janji itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette