Ban pecah
Ban pecah di Taman Sri Muda menyebabkan limpahan air di kawasan berkenaan.

SHAH ALAM – Sebuah ban berhampiran pintu kunci air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pecah dipercayai akibat hujan lebat di kawasan tersebut petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian daripada penduduk pada 8.15 malam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba di lokasi 14 minit kemudian.

“Keadaan di lokasi terkawal. Kerja pembaikan sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya dalam kenyataan.

Norazam berkata pihaknya turut menggerakkan lima bot ke lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga.

“Bomba akan terus berada di lokasi sehingga air pasang pada 12 tengah malam ini untuk memantau paras air. Setakat ini tiada limpahan air ke kawasan kediaman penduduk,” katanya.

— BERNAMA