Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Sindiran Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang menyatakan kehadiran Datuk Seri Najib Razak di Johor seolah-olah beliau bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebenarnya menggambarkan kegusaran parti tersebut terhadap pengaruh bekas perdana menteri itu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kebimbangan itu berasaskan kerana kempen, ceramah dan walkabout yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin DAP tidak mendapat sambutan hebat dalam kalangan masyarakat Cina seperti dahulu.

“Tidak timbul populariti Najib melebihi Hasni, itu hanya dakwaan Chin Tong sahaja. Saya faham kenapa dia (Chin Tong) membuat kenyataan sedemikian rupa.

“Jadi biarlah dakwaan Chin Tong tu,” katanya yang juga Pengarah Komunikasi BN.

Mengulas isu itu, Shamsul menambah,  kehadiran Najib dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam kempen semata-mata mahu memastikan Datuk Hasni Mohammad dipilih sebagai Menteri Besar Johor.

Penyertaan Najib dalam kempen PRN juga adalah usaha beliau untuk mendapat sokongan dalam masyarakat Cina di Johor.

Akui Shamsul, pendekatan itu juga adalah strategi BN dalam bersaing secara sihat dalam PRN Johor ini.

Baru-baru ini, Chin Tong mendakwa kehadiran Najib di Johor telah menenggelamkan penampilan Hasni sebagai calon Menteri Besar BN.

Menurut calon DAP DUN Perling itu, beliau melihat Najib sebagai calon Menteri Besar BN berbanding Hasni.

“Dan sekarang ini, nampaknya sejak hari pencalonan, siapa calon MB? Bossku Najib ini calon MB kerana Hasni telah tengelam. Tak nampak Hasni, hanya nampak bossku sahaja.

”Tindakan Najib itu (berkempen) seolah-olah dia bertanding dalam PRN Johor, seolah-olah dia adalah calon Menteri Besar Johor jika mereka menang nanti, jika saya jadi Hasni, pasti akan berasa sakit hati,” katanya. – MalaysiaGazette