Dr. Fathul Bari Mat Jahya

TANGKAK – Lebih 2.5 juta pengundi digesa untuk menilai parti yang boleh memberikan fokus kepada rakyat dan sekaligus membentuk kerajaan yang kukuh selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, tema ‘Kestabilan Demi Masa Depan’ yang dicanang Barisan Nasioonal (BN) pada PRN kali ini jelas menggambarkan gabungan parti itu serius untuk memastikan kestabilan ekonomi, kesihatan dan pendidikan terjamin untuk golongan masa depan di negeri itu.

“Apa perancangan mereka untuk masa depan kerajaan negeri kalau nak bandingkan dengan BN pamerkan. Ini satu perkara yang perlu diteliti dan dinilai dengan baik oleh pengundi, saya yakin pengundi bijak menilai 22 bulan kesengsaraan beberapa bulan sebelum diambil alih oleh UMNO BN.

“Harapan saya kepada pengundi buat penilaian yang terbaik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas Fathul Bari, penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dalam gelanggang PRN kali ini hanyalah satu percubaan politik untuk melihat sama ada kedua-dua parti itu diterima atau tidak pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Malah katanya, PRN Johor jelas digunakan sebagai batu loncatan buat kedua-dua parti namun tidak kepada UMNO BN yang cakna kepada kepentingan rakyat dan kestabilan.

“Mungkin sebagai test ground mereka gunakan Johor untuk satu tanda aras tapi bagi saya persiapan awal ini satu kegagalan buat mereka kerana penglibatan MUDA dalam kerjasama sebelum PRU-15 menggambarkan DAP dan Amanah sendiri tidak menghargai orang muda dalam parti masing-masing,” katanya lagi.

Untuk rekod, ini kali pertama MUDA dan Pejuang bertanding di PRN selepas PRN Sabah, Melaka dan Sarawak yang diadakan sebelum ini.

Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, parti-parti yang dibentuk daripada serpihan parti-parti lain sememangnya akan mengkhianati mandat yang diberikan rakyat semata-mata untuk kuasa.

“Kita lihat corak parti-parti serpihan ini mereka tidak kisah, mereka boleh lompat, tinggal, bergabung dan berpecah dan bercerai.

“Bahkan mereka tidak ada poster boy dan manifesto yang jelas tidak ada, gunakan taktik lama di mana gunakan istilah kluster mahkamah walhal yang bertanding tidak ada kaitan dengan mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bukan Johor je . Dunia pun boleh stabil kalau UMNO merintah . Orang UMNO semuanya bijak pandai . Beri je kuasa pandai lah dia tadbirnya .

Comments are closed.