Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR –  Seramai 40,743 orang dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak berdaftar sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) Pendengaran.

Jumlah itu berdasarkan statistik terkini iaitu sehingga 31 Disember tahun lalu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau menyifatkan jumlahnya lebih rendah berbanding tinjauan yang dilakukan sebelum ini.

“OKU di Malaysia dilindungi di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 termasuklah OKU Pendengaran,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Hari Pendengaran Sedunia 2020 Peringkat Kebangsaan di Hospital Serdang hari ini.

Justeru, Khairy mahu individu yang mempunyai bermasalah pendengaran supaya mendaftarkan diri atau didaftarkan oleh ahli keluarga atau jiran serta rakan-rakan bagi memastikan mereka mendapat hak dan peluang yang sama dalam kalangan masyarakat.

“Mereka berhak menerima pengesanan awal ketidakupayaan, intervensi bersesuaian serta rawatan rehabilitasi bagi mencegah ketidakupayaan selanjutnya,” jelasnya.

Sementara itu, Khairy berkata, sebanyak 62 peratus bayi yang telah disaring daripada kadar kelahiran hidup dan jumlah itu perlu ditambah sehingga 90 peratus dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Ini adalah penting kerana masalah hilang upaya pendengaran di kalangan bayi dan kanak-kanak adalah hidden disability dan kegagalan pengesanan awal memberi impak ketara terhadap masa depan mereka,” katanya lagi.

Sebagai rekod, saringan pendengaran  dalam kalangan bayi dilakukan melalui Program Saringan Pendengaran Neonatal (Universal Newborn Hearing Screening-UNHS).

Sehingga kini, katanya, terdapat 44 buah hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjalankan program berkenaan.

Melalui program saringan ini didapati insiden masalah pendengaran jenis kekal adalah 4 bagi setiap 1,000 bayi yang disaring.- MalaysiaGazette