Keadaan kenderaan milik JPJ yang remuk pada bahagian hadapan selepas dilanggar sebuah lori yang mengundur.

KUALA LUMPUR – Sebuah pacuan empat roda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) remuk pada bahagian hadapan selepas sebuah lori secara tiba-tiba mengundur kerana mengalami masalah brek  di Persiaran Mokhtar Dahari berhampiran Universiti Teknologi Mara Puncak Perdana semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.46 tengah hari itu membabitkan Ford Ranger milik JPJ dengan sebuah lori jenis Nissan yang diletakkan di bahu kiri jalan.

“Akibat mengalami masalah brek, lori berkenaan telah mengundur secara sendiri tanpa pemandu dan melanggar kenderaan JPJ yang berada di bahagian belakang sehingga berpusing lalu melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.

“Manakala lori itu turut terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Baharudin, ketika kejadian, anggota yang bertugas dalam proses mengeluarkan saman terhadap lori berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Rule 14 (1) (b) LN 166/59 kerana tidak memasang brek semasa meninggalkan kenderaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Bin Sukri di talian 014-8066744. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast