Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bercakap pada sidang media sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Peringkat Negeri Johor di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk terus mencari jalan penyelesaian konflik antara Rusia dan Ukraine dengan melaksanakan peranan utamanya memastikan keamanan sejagat.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sebagai sebuah negara anggota PBB bertanggungjawab, negara mengulangi komitmen berterusan terhadap penyelesaian secara damai.

Menurut beliau, Malaysia akan terus menyokong usaha-usaha  peringkat antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik tersebut demi mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa.

“Menggariskan hubungan kerjasama yang erat dengan kedua-dua buah negara, Rusia dan Ukraine, Malaysia sedar situasi konflik ini adalah kompleks dan rumit berikutan keadaan geopolitik serta perbezaan dalam pelbagai aspek yang terus menjadi kebimbangan bagi kedua-dua buah negara.

“Dalam hal ini, Malaysia berpandangan supaya negara-negara terlibat perlu mencari jalan penyelesaian melalui dialog dan rundingan damai.

“Justeru, Malaysia menyambut baik rundingan antara Rusia dan Ukraine di Belarus dan berharap agar rundingan tersebut berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Menara MBJB di sini hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bergambar bersama Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman pada sidang media sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Peringkat Negeri Johor di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2022.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Resolusi Tindakan Keganasan Ke Atas Ukraine telah diterima pakai di Perhimpunan PBB Sesi Khas ke-11 semalam.

Jelas beliau, resolusi tersebut telah mendapat sokongan sebanyak 141 undian berpihak, lima membantah dan 35 berkecuali.

Ujarnya, walaupun tidak bersetuju sepenuhnya dengan kandungan resolusi tersebut, Malaysia telah menyatakan sokongan dan membuat undian ke atas resolusi berkenaan atas pendirian berprinsip negara yang menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah sesebuah negara yang amat penting.

“Dalam kenyataan bagi menjelaskan undi negara, Malaysia telah mengulangi komitmen terhadap Piagam PBB, prinsip asas integriti wilayah serta kedaulatan sesebuah negara yang seharusnya tidak dicabuli oleh mana-mana negara,” katanya.

Mengenai keadaan terkini di Ukraine, Saifuddin memberitahu, Kedutaan Malaysia negara itu kini berada dalam keadaan tergantung kerana tiada lagi pegawai Malaysia yang bertugas di sana.

Tambah beliau, sekiranya masih ada rakyat Malaysia di negara itu yang tidak berdaftar dengan pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di luar negara, mereka boleh memohon bantuan yang terdekat di Kedutaan Malaysia di Poland. – MalaysiaGazette