Bukit Melaka yang didakwa nama asal Bukit St Paul belum boleh digunakan secara rasmi kerana masih peringkat kajian susulan terdapat juga nama lain yang disebut dalam sejarah.

MELAKA – Bukit Melaka yang didakwa nama asal Bukit St Paul belum boleh digunakan secara rasmi kerana masih peringkat kajian susulan terdapat juga nama lain yang disebut dalam sejarah.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat mendedahkan nama beridentiti Melayu itu yang masih peringkat kajian terperinci.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang menunggu pengesahan daripada beberapa pihak berkaitan antaranya Jabatan Warisan Negara dan Arkib Negara walaupun nama Bukit Melaka ada disebut dalam sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

“Dalam sejarah, memang itu (Bukit Melaka) namanya tapi kita ada sumber lain ia bukan Bukit Melaka, tapi ada nama Melayunya.

“Nama tu saya tak nak diviralkan sebab saya tak nak salah sebut nanti semua orang hendak jadi komentator (pengulas). Kita nak pengesahan dulu sebab perkara begini kita kena teliti betul-betul.

“Sekarang ini nama Bukit Melaka pun belum rasmi, kita masih guna Bukit St Paul tapi kita memang menuju ke arah mengembalikan nama asalnya yang dijangkakan dapat diselesaikan tahun ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini kecoh apabila isu pertukaran nama Bukit St Paul kepada nama asalnya Bukit Melaka, dibangkitkan pembangkang.

Ia susulan Leng Chau Yen (DAP-Bandar Hilir) mempersoal tindakan penukaran nama itu yang didakwa satu cubaan untuk menukar sejarah.

Muhammad Jailani bagaimanapun menjelaskan, pertukaran nama itu adalah berikutan Bukit Melaka adalah nama asal yang termaktub dalam sejarah Melayu Melaka, sebelum ketibaan penjajah.

Pertukaran nama itu juga menurut beliau tidak akan menukar sejarah, bahkan nama gereja Bukit St Paul yang terdapat di bukit berkenaan turut dikekalkan.

Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri perlu mendapatkan maklumat sahih dari segala aspek sebelum langkah pewartaan dibuat.

“Malah, sebelum ianya digazetkan, ia perlu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kena ada pengesahan paling tidak pun daripada Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara, Jabatan Muzium Malaysia.

“Itu yang kita sedang muktamadkan, tidak semestinya nama itu Bukit Melaka sebab ada nama lain yang turut disebut dalam sejarah,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast