IPOH – Perak FC berjanji menyelesaikan isu pembayaran gaji sehinnga 7 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yunus Zakariah mengeluarkan satu kenyataannya itu hari ini berikutan tular di media sosial pemain kelab berkenaan tidak menerima gaji selama dua bulan.

“Saya minta pemain bersabar sehingga 7 Mac. Kita akan bayar gaji seperti yang dinyatakan dalam kontrak masing-masing,” katanya.

Muhammad Yunus berkata, kelab telah menjamin pembayaran gaji kepada bekas pemain import sebelum akhir April ini.

“Ia sebulan sebelum jendela perpindahan yang kedua. Bagaimanapun jaminan sedemikian tidak diberikan kepada pemain tempatan sedia ada,” katanya.

Menurutnya lagi, kelab bercadang untuk menyelesaikan semua tunggakan kepada pemain sedia ada atau sekurang-kurangnya bayaran bulan pertama terlebih dahulu.

Mengenai jersi rasmi pasukan, Muhammad Yunus berkata, penaja jersi masih kekal Lotto walaupun pelbagai spekulasi telah dibuat di media sosial.

“Seperti yang diumumkan di forum peminat pada 5 Januari lalu, jersi pasukan untuk beberapa perlawanan yang pertama adalah menyamai jersi yang dipakai semasa perlawanan pra-musim.

“Jersi rasmi pasukan Perak untuk musim 2022 yang akan dijual kepada para peminat akan diperkenalkan dalam bulan April atau Mei,” ujarnya. – MalaysiaGazette