PENGERANG – Nasib anak muda perlu dibela dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka di kawasan setempat.
Itu perjuangan Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Rosman Tahir sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Beliau yang berpengalaman sebagai Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri (TPM) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu akan mengutamakan nasib anak muda Tanjung Surat dan membawa suara mereka.
“Banyak generasi muda sekarang tidak bekerja di bandar Sungai Rengit, Tanjung Surat. Kalau saya meronda di sekitar bandar sini dalam pukul 3 pagi masih ada ramai anak muda yang berkumpul melepak dan buang masa.
“Bila saya tanya, adik-adik ini kerja sini ke? Ya, kata mereka. Mereka rata-ratanya bergantung kepada pekerjaan separuh masa, tiada yang ada kerja tetap” jelasnya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Rosman yang sudah bersama PKR sejak awal tahun 1990-an itu mahu mengetengahkan generasi muda yang akan menjadi pemangkin pembangunan negara ini pada masa yang akan datang.
“Saya akan menggunakan pengalaman yang ada untuk berbincang dengan Petronas untuk mengutamakan pengambilan pekerja dari golongan muda tempatan bukannya warga asing.
“Setara dengan kelulusan dan kebolehan mereka, saya ingin mereka diberi peluang untuk membuktikan yang mereka juga mampu bekerja, cuma peluang untuk berbuat demikian masih belum ada,” tambahnya.
“Sekarang ini, rasanya kurang 10 peratus peluang pekerjaan yang dibuka untuk anak muda di Pengerang, jadi saya akan cuba untuk buka peluang pekerjaan supaya mereka juga dapat merasa kesenangan suatu hari nanti,” katanya. – MalaysiaGazette
















