KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara telah menyelaraskan koordinasi siasatan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan kes berkaitan 1MDB pada akhir 2018.
Menerusi koordinasi tersebut, fokus SPRM adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB termasuk sejumlah AS$15.4 juta, yang melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd. milik Datuk Dr. Tawfiq Ayman.
Tawfiq ialah suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Oleh itu, SPRM berkata, pendedahan Tim Leissner, Pengerusi Goldman Sachs Group Inc. Asia Tenggara yang mengaitkan Tawfiq bukan baharu.
Katanya, pada 19 November 2021 lalu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan media mengesahkan pemulangan tersebut.
Manakala Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan PDRM untuk menumpukan kepada aspek kesalahan jenayah berhubung penerimaan wang tersebut ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura dan siasatan masih berjalan sehingga kini.
Penyelarasan ini adalah untuk mengelakkan pertindihan dalam siasatan melibatkan pengumpulan bukti-bukti dan keterangan mereka yang terlibat serta sebagai kemudahan untuk berurusan bersama pihak Singapura yang memberi keutamaan kepada satu agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan kesalahan jenayah.
Sehubungan itu, SPRM berkata, tidak timbul isu kegagalan mana-mana agensi penguat kuasa untuk mengesan, menyiasat dan mendakwa apa-apa kesalahan dalam transaksi kewangan tersebut seperti yang dibangkitkan oleh segelintir pihak. – MalaysiaGazette















