logo 1mdb
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa kerajaan belum lagi membayar hutang prinsipal 1MDB adalah tidak berasas, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Jelas beliau, baki komitmen kerajaan adalah lebih kurang RM38.5 – RM38.8 bilion iaitu prinsipal antara RM32 bilion hingga RM32.3 bilion dan faedah sebanyak RM6.5 bilion.

Jumlah itu adalah setakat bulan ini dan mengambil andaian kadar pertukaran wang asing sekarang AS$1 bersamaan dengan RM4.20.

Bagaimanapun, prinsipal hutang-hutang tersebut akan matang lambat lagi.

Contohnya, prinsipal bon terbitan 1MDB Energy Limited, 11 Mei 2022 sebanyak RM7.35 bilion dan bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd, 2022, berjumlah RM7.35 bilion.

Bon terbitan 1MDB Global Investment Ltd, sebanyak RM12.6 bilion, Sukuk IMTN terbitan 1MDB sebanyak RM5 bilion.

”Jadi, RM32.3 bilion ini, tarikh matangnya adalah antara 2022 hingga 2039. Jadi belum lagi dibayar prinsipal, tetapi kita sudah mula membayar faedahnya seperti saya sebut tadi. Setakat itu sahaja,” katanya yang menjawab dua soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan).

Guan Eng mempersoalkan adakah mana-mana akaun bank ditutup untuk mereka yang terbabit dengan skandal 1MDB dan jika ya, boleh berikan maklumat.

Dan apakah komen tentang dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan tidak membayar satu sen pun hutang pinjaman 1MDB, jika ditambah faedah adalah sebanyak RM51 bilion.

Bagi soalan pertama, Tengku Zafrul berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya dan akan menjawab secepat mungkin. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Aiyyyaaaa bodohnya wartawan ni…sah2 lah Tenku Zafrul kata cuma bayar faedah…tak bayar prinsipal lg…hadooiii mcm ni pun MG boleh ambil sbg wartawan

Comments are closed.