Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 32,467 kes baharu positif Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,528,557 kes.

Daripada jumlah itu, 231 kes atau 0.71 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 32,236 kes atau 99.29 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Pecahan kategori kes ialah kategori 1 sebanyak 10,828 kes (33.35%), kategori 2 (21,408 kes / 65.94%), kategori 3 (100 kes / 0.31%), kategori 4 (63 kes / 0.19%) dan kategori 5 (68 kes / 0.21%).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, status terkini juga menunjukkan kes sembuh yang direkodkan semalam ialah 27,629 kes (3,197,298 kes kumulatif),

“Kes yang memerlukan rawatan di ICU ialah 335 kes iaitu 145 kes disahkan Covid-19, 210 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan serta kes memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 208 kes iaitu 82 kes disahkan Covid-19,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Kata Dr. Noor Hisham, daripada 231 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan pada 3 Mac lalu ialah 60 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 115 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

Sebanyak 56 kes telah menerima dos penggalak, 127 kes berumur 60 tahun dan ke atas, 74 kes mempunyai komorbid dan satu kes adalah kes ibu mengandung.

Mengenai kluster Covid-19, Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kluster setakat ini sebanyak 6,809 kluster, dengan 11 kluster baharu, 6,343 kluster telah tamat dan 466 kluster aktif. – MalaysiaGazette