Kebakaran melibatkan motosikal dan kereta di Blok C, PPR Intan Baiduri di sini awal pagi tadi. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Sebanyak 48 buah motosikal dan empat buah kereta hangus dalam kejadian kebakaran di Blok C, PPR Intan Baiduri, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4.21 pagi.

Menurut beliau, anggota bomba tiba di lokasi pada pukul 4.39 pagi dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 4.56 pagi.

“Siasatan awal polis mendapati kebakaran yang berlaku membabitkan 48 buah motosikal serta empat buah kereta.

“Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah motosikal yang diletakkan di pintu masuk utama kawasan parkir motosikal berbumbung di Blok C sebelum merebak ke keseluruhan kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kebakaran yang melibatkan motosikal dan kereta di Blok C, PPR Intan Baiduri di sini awal pagi tadi. Foto PDRM

Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar dengan dibantu Unit Forensik dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Rampai.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Anggaran kerugian keseluruhan akibat kebakaran hampir mencecah RM300,000,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes berkenaan untuk tampil memberikan keterangan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Baldev Singh Gurdial Singh di talian 012-480 6062 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul ditalian 03-40482206.

Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti sama ada wujudnya sebarang elemen khianat dengan api dalam kejadian itu. – MalaysiaGazette