Noh (tengah) menyampaikan beg sekolah kepada murid sekolah di Kota Bharu sambil disaksikan Halimah (kiri) dan Megat Zulkarnain (kanan).

KOTA TINGGI – Yayasan Bank Rakyat (YBR) terus dengan program kebajikannya dalam membantu anak-anak sekolah yang memerlukan bagi melancarkan sesi persekolahan yang akan bermula bulan ini.

Kali ini, YBR ke Kota Tinggi, Johor untuk menyampaikan sumbangan itu kepada kira-kira 500 murid dan pelajar dengan peruntukan sebanyak RM50,000.

Peruntukan bantuan persekolahan itu disampikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar kepada wakil pemimpin tempatan dalam majlis Prihatin Pendidikan Keluarga Malaysia Yayasan Bank Rakyat.

Menurut Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin, sumbangan itu diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga terutama golongan B40 dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Katanya, antara bantuan disediakan YBR ialah pembelian kelengkapan persekolahan seperti set baju, kasut dan stoking atau beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing.

“Kita cakna dengan keadaan masyarakat yang terkesan akibat gelombang Covid-19 dan melihat kepada keadaan ekonomi mereka yang tidak menentu.

“Oleh itu, YBR tampil dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 bagi persiapan persekolahan.

“Kita harap bantuan ini dapat membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal untuk anak-anak dalam memulakan sesi akademik persekolahan 2022/2023,” katanya dalam majlis itu semalam.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Ketua Bahagian Operasi Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Menurut Megat Zulkarnain, sehingga kini, seramai 39,397 murid dan pelajar dari seluruh negara telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR.

Katanya, jumlah itu telah melibatkan peruntukan kira-kira RM5.12 juta sejak program itu dimulakan pada 2018.

“Bagi tahun ini sahaja, sejumlah RM2.75 juta diperuntukan dalam program bantuan persekolahan ini,” katanya. – MalaysiaGazette