The Fire and Rescue Department putting out the fire at a synthetic rubber factory at Sungai Petani, Kedah early this morning.
The Fire and Rescue Department putting out the fire at a synthetic rubber factory at Sungai Petani, Kedah early this morning. Pihak bomba sedang melakukan kerja-kerja memadamkan api di sebuah kilang plastik di Sungai Petani, Kedah awal pagi tadi.

SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak perempuan rentung dalam kebakaran di sebuah kilang getah sintetik di kawasan perindustrian Bakar Arang di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Misha Kasih, 11, merupakan warga Indonesia itu ditemui di pejabat kilang itu dalam keadaan rentung oleh pihak bomba.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.10 pagi sebelum menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang merupakan pengurusan kilang tersebut.

Kebakaran itu mengakibatkan 95 peratus kilang berkenaan musnah.

Jelas beliau, hasil temu bual dengan pengurus kilang mendapati kebakaran disedari pukul 3 pagi oleh akaknya yang tidur di sebuah bilik dalam bangunan kilang terbabit.

“Anak mangsa berjaya menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran itu namun kanak-kanak terbabit gagal dikesan ketika kejadian sebelum pihak bomba memaklumkan mangsa rentung di tingkat dua kilang tersebut.

“Temu bual lanjut mendapati mangsa rentung itu merupakan cucu angkat kepada keluarga pengurus terbabit yang dijaga sejak kecil selepas ibunya yang merupakan bekas pekerja mereka pulang ke negara asal.

“Pengambilan kanak-kanak terbabit sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga Melayu kerana beragama Islam telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara namun setiap malam dibawa bermain dan tidur di dalam kilang berkenaan bersama anaknya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Keadaan dalam kilang selepas api dipadamkan sepenuhnya.

Tambah Anuar, mayat mangsa dihantar ke hospital dan proses bedah siasat akan dilakukan sebaik ujian calitan Covid-19 diperolehi.

Mengulas lanjut mengenai kebakaran kilang Anuar berkata, kilang memproses getah tiruan (sintetik) itu musnah 95 peratus dan pemilik mengalami kerugian bernilai RM8 juta.

“Sebanyak 17 buah jentera bomba terlibat dalam operasi pemadaman api di kilang tersebut dan ketika kejadian kilang itu tidak beroperasi.

17 jentera bomba termasuk pasukan bomba sukarela dikerahkan ke lokasi bagi operasi pemadaman api.

“Kilang tersebut sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu dan mempunyai lapan orang pekerja.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba termasuk mengenal pasti sama ada wujud unsur khianat atau sebaliknya,” kata Anuar. – MalaysiaGazette