KUALA LUMPUR – Pertumbuhan indeks nilai seunit eksport Malaysia menunjukkan trend positif bagi tempoh empat bulan berturut-turut pada Januari 2022 dengan peningkatan 1.3 peratus.

Prestasi ini dipacu oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+3.3%), minyak galian (+2.1%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+1.3%).

Sementara itu, indeks volum eksport menyusut 11.8 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-15.4%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-11.4%) dan minyak galian (-7.8%). Indeks
volum eksport pelarasan bermusim bertumbuh 0.5 peratus daripada 154.4 mata kepada
155.1 mata.

Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 15.5 peratus dan 7.0 peratus.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit import pula menyusut 0.5 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-4.6%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.3%) dan bahan kimia (-0.2%).

Indeks volum import turut menyusut 0.04 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan pelbagai barang keluaran kilang (-4.2%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-2.8%) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-0.3%).

Indeks volum import pelarasan bermusim pada Januari 2022 meningkat 1.5 peratus daripada 166.8 mata kepada 169.3 mata.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 7.1 peratus dan 18.1 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 1.9 peratus bulan ke bulan kepada 109.1 mata pada Januari 2022.

Perbandingan tahun ke tahun prestasi perdagangan Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 7.9 peratus daripada 101.1 mata pada Januari tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast