SIBU – Seorang pekerja ladang kelapa sawit hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh dua wanita warga Indonesia yang mayat mereka ditemukan terapung di Sungai Samong, Daro bulan lepas.

Ahmad Robin, 31, didakwa membunuh Pandang Sarang di sebuah ladang kelapa sawit pada 11 pagi 11 Februari lepas dan Muli Laha di sebuah ladang kelapa sawit lain di Daro pada 11 malam hari sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, selepas pengakuan tertuduh direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin, pendakwaan memanggil saksinya untuk memberi keterangan.

Sijaya, 50, suami Pandang Sarang, memaklumkan mahkamah bahawa pada 7.20 pagi hari kejadian, mangsa memberitahunya mahu ke pasar Daro bersama-sama Muli Laha dan seorang lagi wanita warga Indonesia bernama Tene dengan menumpang kereta tertuduh.

“Isteri saya ada membawa wang sebanyak RM2,500 untuk membeli barangan keperluan selain memakai rantai dan anting-anting emas,” katanya dalam pernyataan bertulis yang dibaca di mahkamah.

Selepas Pandang Sarang tidak pulang ke rumah hingga 7 pagi esoknya, dia dan Ero Nyale (suami Muli Laha) mencari isteri mereka di kawasan ladang sehingga ke Kampung Tebaang.

Dia berkata pada 12.30 tengah hari, mereka dimaklumkan bahawa polis telah menjumpai mayat isteri mereka oleh seorang pemandu van ladang.

“Saya berasa amat terkejut dan tidak dapat berkata apa-apa apabila mendapat tahu mayat yang dijumpai terapung di sungai itu adalah mayat isteri saya,” katanya sambil menambah dia amat mengenali serta berkawan baik dengan Ahmad dan Pandang Sarang sering menggunakan khidmat tertuduh untuk ke Daro bagi membeli barangan keperluan selepas menerima gaji.

Sijaya berkata, dia dan isterinya mula bekerja di ladang kelapa sawit itu sejak tiga tahun lepas dan mengenali tertuduh yang juga pemandu van di ladang tersebut.

Terdahulu, ketika Ero Nyale, 48, dipanggil memberi keterangan, jurubahasa Makasar yang dilantik oleh konsulat Indonesia Muhiddin Salihi berdepan kesukaran berkomunikasi dengan saksi yang kelihatan masih takut dan mengalami gangguan emosi akibat kejadian itu.

Perbicaraan bersambung 25 Mac ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dona Liyanna Sabariah Azmi manakala Ahmad diwakili peguam Ben Lau. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast