Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menyiasat kes seorang pemandu yang membuat tohmahan ke atas anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor selepas disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya mengesan satu hantaran yang dimuat naik melalui laman Facebook memaparkan mesej tidak puas hati terhadap seorang anggota sekitar pukul 8.40 malam, hari yang sama.

Jelas beliau, ketika kejadian, pasukan penguatkuasaan trafik sedang menjalankan snap check di Jalan Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya dan telah menahan sebuah kenderaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu terbabit tidak memakai tali pinggang keledar serta tidak membawa kad pengenalan diri dan lesen memandu.

“Tindakan saman telah dikenakan terhadap pemandu itu atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar mengikut Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan 2008) PU(A) 378/78,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang berunsur khabar angin dan fitnah sehingga boleh menjejaskan kredibiliti pasukan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan. – MalaysiaGazette