Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berucap ketika mengadakan lawatan ke Residensi PR1MA Larkin Indah di Larkin, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Sebanyak tiga lagi projek perumahan mampu milik akan dibina untuk Johor oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dalam usaha menyediakan kediaman selesa kepada rakyat negeri itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, satu daripada projek berkenaan iaitu Residensi Larkin Indah telah mencecah 90 peratus pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun depan.

“Selain Residensi Larkin Indah, kita akan laksanakan dua lagi projek iaitu Residensi Kota Tinggi dan Residensi Pelangi Indah.

“Keseluruhannya, kita akan menyediakan 4,479 unit kediaman untuk orang Johor,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (tiga kiri) beramah mesra dengan sebahagian penerima surat kelulusan tawaran Skim Pembiayaan Perumahan Inovatif PR1MA dan PR1MA STEP ketika mengadakan lawatan ke Residensi PR1MA Larkin Indah di Larkin, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 MAC 2022.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pembeli Residensi Larkin Indah yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Reezal Merican menambah, pelaksanaan projek itu juga selari dengan sasaran kerajaan mencapai matlamat membina 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Kerjasama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) bersama PR1MA ialah selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia dan Kempen Pemilikan Rumah (HOPE) oleh kementerian ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast