Pergaduhan penyokong KL City FC dan Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Polis menangkap dua lelaki daripada sekumpulan penyokong Kuala Lumpur City dan Selangor FC yang bergaduh awal pagi tadi.

Jelas Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, kedua-dua lelaki tempatan itu ditahan kerana tidak mengendahkan arahan polis yang meleraikan pergaduhan yang berlaku malam tadi.

“Polis cuba untuk meleraikan keadaan yang sedang kecoh dan telah mengarahkan kesemua suspek untuk beredar tetapi dua lelaki tidak mengendahkkan arahan.

“Seterusnya kami telah tangkap kedua-dua suspek kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kedua-dua suspek yang berusia 22 hingga 23 tahun ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan dan direman selama tiga har untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Sejak pagi tadi, tular di media sosial rakaman video menunjukkan kekecohan yang berlaku di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras.

Suasana huru-hara itu dipercayai berlaku selepas perlawanan pembukaan Liga Super 2022 antara pasukan tuan rumah, KL City FC dan Selangor FC yang berlangsung semalam.

Rakaman video klip tersebut turut dimuat naik pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam di Twitter yang menyaksikan suasana kecoh di luar stadium selepas aksi seri dengan keputusan 3-3.-MalaysiaGazette