GAZA – Pergerakan Islam Palestin (Hamas) menolak keputusan Australia yang menyenaraikannya sebagai kumpulan pengganas.
Dalam satu kenyataan akhbar yang dihantar kepada Xinhua, Hamas mengutuk keputusan kerajaan Australia dan semua tuduhan terhadap pergerakan itu “adalah palsu, berdasarkan pemahaman yang tidak tepat tentang sejarah rakyat Palestin yang hidup di bawah pendudukan Israel.”
Semalam, Australia secara rasmi menyenaraikan Hamas sebagai organisasi pengganas, menganggap keputusan itu sebagai “menghalang kepada keganasan politik dan agama”.
Menteri Dalam Negeri Australia, Karen Andrews dalam satu kenyataan akhbar berkata, penyenaraian Hamas sebagai organisasi pengganas “membawa Australia sebaris dengan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, dan Britain,” menurut Radio Israel.
Hamas, yang ditubuhkan pada 1987, telah mentadbir Semenanjung Gaza sejak mengambil alih kawasan itu pada 2007. – Xinhua (https://english.news.cn/20220305/fb6d67f7f112465f9ff6caa3c730d00b/c.html)