Calon Barisan Nasional (BN) N.14 Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Warung Hentian Mesra Selalu, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2022.

MUAR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Datuk Mohd. Fuad Tukirin percaya para pengundi di kawasan itu akan kembali memangkah BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Keyakinan itu dizahirkan selepas melihat sentimen penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang dipamerkan semasa beliau turun berkempen.

“Saya penuh percaya pengundi dalam DUN Bukit Naning ini dapat berikan sokongan padu kepada saya sebab saya sudah berkhidmat di kawasan ini sejak 2018.

“Saya dilantik oleh pejabat Menteri Besar sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Bukit Naning dan ramai dalam kalangan penduduk dan komuniti telah saya santuni.

“Saya berharap dengan adanya mandat baru ini beri saya peluang menbuat bakti dalam DUN Bukit Naning,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di bilik gerakan DUN Bukit Naning hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Fuad yang juga Ketua UMNO Bahagian Bakri turut menawarkan lapan manifesto untuk para pengundinya Bukit Naning.

Antaranya perluasan khidmat jalur lebar yang optimum demi kegunaaan masyarakat kawasan ini serta menggiatkan kegiatan gig ekonomi anak muda.

“Sekiranya diberikan mandat dalam menjadi ADUN Bukit Naning, saya ada lapan manifesto yang telah saya gariskan antaranya rentetan orang muda mahu jalur lebar kerana ia amat lemah sekali.

“Dibandingkan kita di pekan, kita nampak kelebihan dari segi jalur lebar amat tinggi tapi di Air Itam yang jarak 30 minit perjalanan ianya sudah rendah jadi sistem POP yang diperkenalkakan pihak telco ianya dapat dipasang di seluruh mukim Air Itam ini kerana sebahagian daripaa 65 peratus pengundi dalam DUN Bukit Naning,” katanya lagi.

DUN Bukit Naning sebelum ini jatuh ke tangan PH pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) ekoran gelombang penolakan kepada BN pada 2018 lalu.

Pada PRU-14 lalu, kerusi tersebut dimenangi Md. Ysahruddin calon daripada PKR manakala calon BN menerusi Hassan Johari tewas manakala calon Pas, Azman Ibrahim dan Jeganathan dari Bebas hilang deposit. – MalaysiaGazette