Orang ramai tidak melepaskan peluang melakukan perjalanan ke luar negara dengan menaiki pesawat selepas kerajaan membenarkan merentas negeri dan ke luar negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, Sepang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) ke Thailand dan Kemboja akan mula beroperasi mulai 15 Mac 2022.

Pengembara yang telah divaksin sepenuhnya tidak perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau yakin laluan VTL baharu ini dijangka dapat membantu memulihkan semula jaringan ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga enam penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Bangkok dan sehingga empat penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur- Phuket.

”Laluan baharu boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada persetujuan bersama oleh kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagi VTL Kemboja, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga dua penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phnom Penh.

Laluan baharu boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada permintaan pasaran.

Kata Ka Siong, laluan ini akan dikendalikan oleh semua syarikat penerbangan yang ditetapkan di bawah inisiatif VTL. Prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang berkaitan akan dikeluarkan oleh agensi masing-masing dalam masa terdekat.

Pengembara diingatkan supaya mematuhi protokol kesihatan secara bertanggungjawab untuk menikmati kemudahan VTL ini.

Malah, katanya, kerajaan akan meneruskan perbincangan dengan semua negara jiran ASEAN mengenai pembukaan semula laluan tambahan yang selamat pada masa hadapan mengikut situasi semasa. – MalaysiaGazette