Projek RKMAT berkenaan melibatkan pembinaan sebanyak 305 unit rumah pelbagai kelas untuk kemudahan anggota pasukan Rejimen Ke-4 Artileri Diraja (4 RAD)

SEGAMAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) Kem Segamat melibatkan pembinaan sebanyak 305 unit rumah pelbagai kelas untuk kemudahan anggota pasukan Rejimen Ke-4 Artileri Diraja (4 RAD).

RKMAT Kem Segamat merupakan salah satu inisiatif di bawah Blueprint Perumahan Kementerian Pertahanan yang mendokong Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) dalam melestarikan warga kerja pertahahan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan dan majlis penyerahan kunci Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Kem Segamat, Johor hari ini.

Hadir sama, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Tentera Darat,  Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zamrose Mohd Zain, dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Rancangan Pembinaan RKAT Pelbagai Kelas di Kem Segamat telah dirancang oleh Kementerian Pertahanan pada tahun 2018 melibatkan peruntukan sebanyak RM 147.7 juta.

Kerja-kerja pembinaan RKMAT Kem Segamat di atas tanah berkeluasan 20.125 ekar bermula pada 24 April 2018 dan siap sepenuhnya pada 5 Mac 2022.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pembinaan masjid bagi 300 jemaah, dewan serbaguna memuatkan 800 orang, kemudahan tadika dan taska kepada 120 anak pegawai, gelanggang futsal, bola tampar sepak takraw dan bola jaring,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 4600 RKMAT telah diduduki oleh pegawai dan anggota tentera. – MalaysiaGazette