Pergaduhan penyokong KL City FC dan Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi amaran tegas susulan insiden pergaduhan yang tercetus antara penyokong Kuala Lumpur dan Selangor, Jumaat lalu.

Malah, MFL menempelak ‘kegiatan’ samseng bola sepak itu yang memberi kesan buruk kepada industri Liga Malaysia (Liga M) khususnya dalam usaha mendapatkan kelonggaran daripada kerajaan dalam pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Stuart Ramalingam berkata, insiden yang berlaku di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu dikhuatiri mampu menjejaskan perancangan mereka yang mengharapkan industri bola sepak menjadi lebih ‘terbuka’ selepas ini.

Justeru, Stuart menegaskan bahawa budaya samseng bola sepak tidak akan sesekali mendapat tempat di dalam kancah bola sepak tempatan dan melahirkan rasa kesal dengan insiden pergaduhan sesama penyokong yang berlaku itu.

“Stadium sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk beriadah, bersantai dan menikmati sukan bola sepak, bukannya menjadi satu pusat pergaduhan sesama sendiri.

“Jadi, MFL mengutuk sekeras-kerasnya tindakan samseng bola sepak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Stuart juga mengesahkan badan pengendali liga itu masih menunggu laporan lengkap daripada pihak berkuasa dan berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang kembali selain mengadakan perbincangan dengan pengurusan kedua-dua pasukan.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan CEO KL City FC, Stanley Bernard dan CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon di mana mereka sendiri cukup kesal dengan apa yang berlaku.

“Bukan sahaja KL City FC dan Selangor FC tetapi kesemua pasukan yang bertanding dalam Liga M menolak keras budaya samseng di dalam bola sepak kerana itu bukan budaya kita.

“Ini kerana kita semua senada dalam perkara ini dan saya berharap industri bola sepak di negara ini dapat bebas daripada daripada budaya samseng bola sepak,” katanya.

Terdahulu, samseng bola sepak ‘kembali’ membuat kemunculan dalam kancah bola sepak tempatan bermula dengan insiden sekumpulan penyokong membakar dan membaling suar ke arah satu lagi kumpulan penyokong yang berlaku selepas aksi perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, minggu lalu.

Isu sama berlanjutan selepas pertembungan tetangga Lembah Klang di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur apabila penyokong kedua-dua pasukan dilihat ‘bertempur’ menerusi beberapa klip video yang tular di laman media sosial.

Susulan insiden itu, polis menahan dua lelaki sebelum direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tiga hari sehingga esok untuk melengkapkan siasatan. – MalaysiaGazette