Presiden Amanah, Mohamad Sabu ketika berucap pada program Ceramah Mega PH DUN Bukit Pasir di Kampung Sungai Terap, Muar.

MUAR – Pakatan Harapan (PH) mengakui sukar untuk meramal sama ada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung pada 12 Mac ini bakal berpihak kepada gabungan berkenaan atau sebaliknya.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, suasana PRN Johor kali ini juga sama sekali berbeza dengan ‘mood’ Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut beliau, tiada ramalan yang tepat setakat ini berkaitan jumlah pengundi yang bakal keluar mengundi selain melibatkan faktor pertembungan banyak penjuru.

“Pertama, kami tak dapat ramalkan peratus keluar mengundi dan yang kedua terlalu banyak penjuru, paling kurang empat dan ada sehingga enam penjuru.

“Kita tak dapat nak ramal seperti sebelum ini, kali ini memang tak boleh nak agak. Jadi kita buat sahaja lah kerja.

“Saya ingat Barisan Nasional pun tak boleh nak ukur sebab mereka pun berpecah tapi di kawasan middle class dan kawasan bandar kita (PH) boleh menang dengan mudah,” katanya kepada pemberita selepas program Ceramah Mega PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir di Kampung Sungai Terap malam tadi.

Jelas Ahli Parlimen Kota Raja itu, rakyat juga masih takut untuk keluar mengundi memandangkan jumlah kes positif Covid-19 yang terlalu tinggi.

Selain itu, beliau turut mengakui kehadiran masyarakat setempat dilihat agak perlahan pada setiap siri ceramah yang dianjurkan oleh gabungan itu.

“Rakyat masih takut dengan Covid-19, kehadiran pun masih perlahan di mana-mana ceramah kerana Covid-19 ini memberikan kesan yang besar.

“Sebab itu juga saya tak dapat nak ramalkan pengundi yang keluar mengundi kerana ini adalah PRN yang dipaksa, padahal tak perlu pun pilihan raya ini tapi disebabkan mereka hendak tunjuk kuasa mereka buat PRN,” ujarnya.

Pada PRN Johor kali ini, Amanah dan DAP yang menggunakan logo PH akan bertanding di 30 kerusi DUN manakala Parti Keadilan Rakyat di 20 kerusi dan tujuh lagi ditandingi Parti Ikatan Demokratik Malaysia. – MalaysiaGazette