Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap ketika hadir ke esyuarat Perhimpunan Agung tahunan k-17 Majlis Belia Malaysia di Dorsett Grand Subang, Subang Jaya. Foto MUHD NA'IM, 07 MAC 2022.

SUBANG – Majlis Belia Malaysia (MBM) diingatkan agar mendekatkan diri dengan individu yang terpalit kepada jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, menyokong perbuatan berkenaan hanya akan menjejaskan nama negara.

“Dengan kuasa yang ada, pemimpin boleh menyelamatkan ummah dan dengan kuasa yang sama, seorang pemimpin boleh merosak dan membinasa. Jauhilah dari segala bentuk perbuatan mungkar, rasuah dan salah guna kuasa.

“Jangan sesekali anda sebagai pemimpin muda, berani mendekatkan diri kepada mereka yang terpalit kepada jenayah rasuah dan salah guna kuasa. Allah SWT, melarang kita bersubahat, atau menyokong perbuatan-perbuatan keji, hingga mengaibkan nama negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-71 Majlis Belia Malaysia (MPAT MBM) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Faizal, MBM sebagai pertubuhan mewakili suara golongan belia dalam negara mempunyai tanggungjawab yang besar.

Sementara itu, beliau berharap MBM dapat menjadi rakan strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam misi memperhebatkan agenda pembangunan belia.

Ujar Faizal, KBS dan MBM mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama merealisasikan Aspirasi Keluarga Malaysia.

“Penglibatan MBM tidak terhad di peringkat kebangsaan sahaja, malah di peringkat akar umbi harus terus bekerjasama dalam menjalankan aktiviti yang memperkasakan golongan belia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette