Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kaji selidik oleh Airbnb, penyedia perkhidmatan penginapan dalam talian, mendapati lebih separuh daripada responden berpotensi untuk menginap di penginapan sewa jangka pendek ketika melakukan perjalanan domestik.

Ia berkata kaji selidik yang dijalankan dalam kalangan 1,020 rakyat Malaysia antara 23 Dis, 2021 hingga 14 Jan, 2022, mendedahkan lebih dua pertiga (68 peratus) rakyat Malaysia berkemungkinan menggunakan Airbnb apabila mereka melakukan perjalanan selanjutnya dan 44 peratus responden menyewa di Airbnb dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Hasil kaji selidik itu menunjukkan konsensus tempatan yang kukuh bahawa penginapan sewa jangka pendek memberi manfaat kepada masyarakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata, keputusan itu juga menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia yakin terhadap penginapan sewa jangka pendek dapat memberi kesan positif untuk komuniti kerana pelancong dari pasaran domestik dan antarabangsa terus menyokong pemulihan ekonomi negara.

“Lebih dua pertiga bersetuju bahawa ia mewujudkan rangsangan ekonomi di kawasan kejiranan dan 62 peratus responden percaya secara keseluruhan penginapan sewa jangka pendek memberi manfaat bukan sahaja untuk tuan rumah tetapi juga perniagaan dalam komuniti.

Menurut kenyataan itu, lebih 60 peratus daripada mereka yang dikaji selidik menyokong penduduk di bandar menyewakan rumah mereka di Airbnb dan 80 peratus responden percaya rakyat Malaysia harus dibenarkan mengguna pangsapuri kosong yang berlebihan sebagai sewa jangka pendek bagi menyelesaikan isu hartanah yang tidak terjual, terutama di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Johor,  Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Dasar Awam (Asia Tenggara) Mich Goh berkata kaji selidik itu jelas menunjukkan rakyat Malaysia yakin penginapan sewa jangka pendek membuahkan hasil positif bagi komuniti kedua-dua pelancong tempatan dan antarabangsa yang menggunakan Airbnb ketika melancong dalam Malaysia.

“Kita memerlukan kerangka kerja kebangsaan yang jelas, mudah dan berkesan yang membolehkan rakyat Malaysia di seluruh negara menjadi tuan rumah bersama kami.

“Airbnb komited sepenuhnya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan ke arah usaha ini. Kami juga kekal fokus untuk menyokong mengembalikan pelancongan dan mempersiapkan komuniti kami untuk mengalu-alukan pelancong dengan selamat dan bertanggungjawab,” tambahnya. – MalaysiaGazette