P Senthil Kumar, 44, meletakkan lapan kilogram pisang setiap hari untuk diberikan kepada monyer liar di kawasan rumahnya di Bukit Senjuang, Bandar Hilir, Melaka yang menjadi rutin hariannya sejak hampir empat tahun lalu.

MELAKA – “Memang sudah menjadi rutin harian kami sejak hampir empat tahun lalu menyediakan lapan kilogram pisang dan buah-buahan yang dibeli di pasar untuk habuan monyet liar di kawasan rumah.

“Kos dibelanjakan sehari sekitar RM20 atau RM600 sebulan namun ia tidak pernah menjadi bebanan malah rezeki kami tidak pernah putus,” kata S. Saratha, 40.

Jurubahasa mahkamah Kompleks Mahkamah Ayer Keroh berusia 40 tahun itu berkata, dia dan suami, P. Senthil Kumar, 44, bersama tiga anaknya masing-masing berusia 19, 14 dan 12 tahun sudah menganggap haiwan itu seperti keluarga sendiri.

Menurutnya, segalanya bermula apabila dia sekeluarga berpindah ke rumah terletak di atas Bukit Senjuang, Banda Hilir yang disewa dengan harga RM700 sebulan pada Julai 2018.

“Selepas seminggu berpindah, kami ‘dikunjungi’ sekitar 10 ekor monyet yang seakan-akan menerima baik kehadiran kami ke kawasan berkenaan dan sejak itulah, suami kerap memberi ia makan pisang.

“Sejak itu, semakin hari jumlah monyet bertambah sehingga sekitar 50 ekor yang akan datang pada pukul 7 pagi dan 4 petang hingga 7 malam.

“Lama kelamaan, ia seperti sudah menjadi rutin harian suami ke pasar di Banda Hilir empat kali seminggu membeli lapan kilogram pisang pada harga sekitar RM20,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Saratha, walaupun selepas hampir empat tahun melakukan rutin itu dia sekeluarga tidak pernah dicederakan monyet liar terbabit yang disifatkannya jinak dan sudah dianggap seperti anak.

Jelasnya, jika tiada bekalan pisang di pasar, suaminya akan ke kedai runcit untuk membeli tiga roti atau biskut sebagai makanan haiwan berkenaan.

“Kadang-kadang, kalau tidak sempat ke kedai, saya hidangkan mereka nasi beralaskan daun pisang yang turut digemari kumpulan monyet tersebut.

“Apatah lagi bagi penganut agama Hindu, monyet adalah salah satu Tuhan iaitu Hanuman dan bagi keluarga kami, Hanuman adalah salah satu tuhan utama kami membuatkan kami rasa bertuah berada dekat dengannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, pihaknya tidak menggalakkan orang ramai memberi makanan kepada haiwan liar termasuk monyet dan kera.

“Kita tidak galak perbuatan ini kerana ia boleh mengubah tingkah laku dan kebergantungan makanan kepada manusia.

“Kandungan makanan manusia pula banyak gula yang
boleh menambah dan menggalakkan kadar pembiakan monyet atau kera liar berbanding sumber asli seperti buah-buahan hutan dan pucuk pokok muda,” katanya

Tambahnya, lebih memburukkan lagi keadaan apabila haiwan terbabit mula mencari makanan di kawasan simpanan sampah dan kawasan perumahan sekaligus mewujudkan masalah lain seperti pencemaran sampah.

“Di Hong Kong, pemberi makanan kepada haiwan liar akan dikenakan denda namun di Malaysia masih belum ada undang-undang khusus sebegini kecuali sekadar nasihat bagi  menerapkan kesedaran,” katanya.- MalaysiaGazette