Addy Kana guilty money-laundering corruption not reporting bribery immoral activities gambling
Businessman, Zaidi Kanapiah who is better known as Datuk Addy Kana pleads guilty at the Shah Alam Sessions Court for money-laundering. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 08 MARCH 2022. Ahli perniagaan Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai Datuk Addy Kana hadir ke mahkamah bagi tuduhan membabitkan kes pengubahan wang haram yang disiasat dibawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2022.

SHAH ALAM – Ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Datuk Addy Kana mengaku bersalah atas tuduhan tidak melaporkan permintaan suapan wang tunai RM110,000 daripada seorang pegawai penguat kuasa tiga tahun lalu.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Addy Kana yang bekerja dengan seorang ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan berunsur tidak bermoral dan perjudian pada Julai 2019 di Hotel MTree, Puchong tanpa alasan munasabah tidak melaporkan tindakan berkenaan kepada kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis.

Penguat kuasa berkenaan dikatakan meminta suapan RM110,000 untuk setiap bulan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan  di bawah Seksyen 25(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Addy Kana kemudiannya mengaku keseluruhan fakta kes berkenaan adalah benar.

Menerusi akta berkenaan, beliau boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara  tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, peguambelanya, Effa Azuin Aidrul Hisham merayu agar mahkamah meringankan hukuman terhadap Addy Kana yang mempunyai lima orang anak dan kini sedang menjaga isterinya yang baru bersalin dan ayahnya yang sudah berusia 74 tahun.

Tambahnya, anak guamnya itu juga menyesal dengan perbuatannya.

“Beliau juga telah menyesal dengan tindakannya dan berjanji tidak akan mengulanginya,” kata peguambelanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab memohon mahkamah tidak meringankan hukuman ahli perniagaan itu agar dapat dijadikan pengajaran kepadanya dan masyarakat.

Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua belah pihak, Hakim Rozilah Salleh kemudian menetapkan hukuman denda maksimum RM10,000 kepada Addy Kana.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pengakuan bersalah Addy Kana.

Dalam pasa itu, media difahamkan pihak pendakwa raya sedang melaksanakan permohonan pelucutan  aset Addy Kana bernilai lebih kurang RM1 juta.- MalaysiaGazette