Riuh Ek! Keluarga Malaysia concert dance party Zahidi Zainul Abidin KKMM MyCreative Ventures
Datuk Zahidi Zainul Abidin visited the media centre at the Paragon Hotel, Johor Bahru in conjunction with the Johor state election. Datuk Zahidi Zainul Abidin melawat Pusat Media sempena Pilihan Raya Negeri Johor di Hotel Grand Paragon di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Insiden dalam video tular pada program ‘Riuh Ek!’ di Ayer Hitam baru-baru ini yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)  berlaku kerana sikap pengunjung yang terlebih berseronok.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, walaupun memahami jiwa golongan muda yang melepaskan geram selepas lama terkurung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun mereka sepatutnya berhibur secara sederhana.

Justeru beliau menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut atas sebarang pelanggaran SOP dalam program tersebut.

“Program ‘Riuh Ek!’ adalah program kita untuk tingkat industri kreatif dalam kalangan rakyat dan salah satu pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar negara di mana program itu kita lihat dapat sambutan yang cukup hebat. Tetapi masalahnya anak muda yang terlebih seronok.

“Mungkin mereka terpendam selama ini kerana PKP dan Covid-19, bila diberi peluang dalam industri kreatif, mereka terlebih seronok dan mereka membuat perkara di luar SOP. Jadi kita nasihatkan cuba kawal dan kalau ada benda di luar kawalan kita, biar pihak polis melakukan siasatan.

“Tapi saya hendak beri peringatan anak-anak muda dan rakyat agar bersederhana kerana kita cuba beri hiburan dan meningkatkan industri kreatif serta seni,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Media sempena Pilihan Raya Negeri Johor di Hotel Grand Paragon di sini hari ini.

Semalam, MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV) sebagai agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang dipertanggungjawabkan ke atas program ‘Riuh Ek!’ menjelaskan insiden itu dan berlaku secara spontan oleh pengunjung.

Malah jelas agensi itu, ia bukan sebahagian daripada atur cara pihak penganjur.

“Pihak penganjur bersama pasukan Rela sudah mengambil tindakan segera dengan meleraikan dan meminta pengunjung beredar dengan serta-merta dan insiden itu juga berlaku selepas majlis berakhir, dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Tan Sri Annuar Musa) sudah pun meninggalkan majlis,” menurut kenyataan itu MyCV.

Hari ini, polis memaklumkan masih menyiasat laporan mengenai aktiviti tari menari di sebuah program kerajaan di Ayer Hitam dan satu lagi di majlis ceramah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang di mana program itu dihadiri lebih 100 orang.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kedua-dua laporan mengenai kes itu diterima pihaknya berhubung pelanggaran SOP.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihaknya telah mengenal pasti penganjur program di majlis kerajaan itu kerana kawalan keselamatan turut diberikan oleh pihak polis.

Bagaimanapun, kes berkenaan masih dalam siasatan dan kertas siasatan turut dibuka mengikut Peraturan-Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tambahnya, beberapa orang yang terlibat dengan penganjuran program berkenaan telah dipanggil untuk diambil keterangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast