Dr Muhamad Akmal Saleh

JASIN – Semua majikan sektor swasta di Melaka disaran memberi kemudahan cuti kuarantin Covid-19 tanpa rekod sebagai mana dilakukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi penjawat awam pada 4 Mac lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu akan disuarakannya sendiri kepada majikan swasta dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, selepas itu cadangan sama akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi memastikan kemudahan sama diselaraskan untuk dinikmati semua sektor pekerjaan di negeri Melaka.

“Sebagai majikan, kalau kita hendak berjaya dalam apa jua sektor, kesihatan emosi dan fizikal pekerja perlu dipastikan sentiasa dalam keadaan terbaik.

“Contohnya, kalau anak sakit dekat rumah, macam mana pekerja nak berikan prestasi terbaik, ia adalah ‘human sense’ dan sebab itu saya minta pada JPA untuk laksanakan dahulu kemudahan ini barulah kita akan gesa sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan 500 kuntum bunga kepada wanita sempena Hari Wanita Sedunia di Merlimau, di sini, hari ini.

Tambahnya, dalam MMKN kelak, kerajaan akan berbincang agar majikan swasta turut mengikut pekeliling yang telah dikeluarkan JPA.

“Cuma sekarang ini terlalu awal, sebab pekeliling ini baharu dikeluarkan semalam, jadi kita kena tunggu sedikit masa lagi,” katanya.

Semalam, media melaporkan kakitangan kerajaan yang mempunyai anak dijangkiti penyakit berjangkit termasuk Covid-19 layak mendapat cuti menerusi Kemudahan Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin Atau Memerlukan Pengasingan, berkuat kuasa Jumaat lalu.

Dalam satu surat edaran oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah kepada semua ketua jabatan memaklumkan, kemudahan Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin Atau Memerlukan Pengasingan adalah pindaan daripada Kemudahan Cuti Kuarantin yang dilaksanakan sejak 1 Januari 2017.

Menerusi pindaan itu pegawai kerajaan boleh mendapatkan cuti maksimum selama lima hari bagi setiap kes atau selama tempoh perakuan yang diberikan oleh mana-mana Pegawai Perubatan Kerajaan atau swasta.

Pada 19 Februari lalu MalaysiaGazette melaporkan, Melaka memohon Putrajaya memperhalusi semula protokol baharu kuarantin dengan membenarkan ibu bapa petugas di sektor awam yang mempunyai anak kecil positif Covid-19 mengambil cuti tanpa rekod selama lima hari.

Permohonan itu disuarakan Dr Akmal susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum itu mengenai pemansuhan prosedur pengasingan atau kuarantin bagi mereka yang menjadi kontrak rapat kes Covid-19. – MlaysiaGazette