Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Datuk Johari Abdul menyifatkan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) dilaksanakan secara gopoh gapah.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu mendakwa, beliau tidak setuju kerajaan melibatkan kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun dalam program vaksinasi.

“Saya bimbang apabila kerajaan mengumumkan kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun akan diberikan suntikan vaksin yang bermula Februari lalu.

“Saya lihat tindakan ini tergopoh gapah kerana dalam keadaan masalah Covid-19 sedang melandai dan negara akan buka pintu sempadan, tiba-tiba PICKids diperkenalkan.

“Sepatutnya, kerajaan harus melihat dan mengkaji dahulu, adakah kewajaran untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan menjunjung titah diraja di Parlimen, petang ini.

Menurut Johari, kerajaan tidak tahu apa masalah yang akan timbul akibat divaksinasi pada umur begitu muda.

Beliau juga bimbang akan memberi kesan jangka panjang seperti mandul.

“Sesuatu yang luar biasa ialah mengenai isu kemandulan. Kita tidak tahu sama ada anak kita yang diberi vaksin ini akan menghadapi masalah jangkapanjang iaitu mandul,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast