Sebahagian Pegawai Polis Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Segamat selesai keluar undi awal hari ini.

SEGAMAT – Seramai 705 anggota polis dan 478 tentera di daerah ini menunaikan tanggungjawab mengundi awal  seawal pukul 8 pagi tadi melibatkan lima pusat mengundi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrain Mohd Noh berkata, daripada jumlah anggota anggota terlibat sebahagiannya dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

Superintendan Bahrain Mohd Noh

“Jumlah peratusan keluar mengundi awal sehingga pukul 10 pagi tadi mencapai 27 peratus. Sehingga kini hanya ada satu kes yang melibatkan pelanggaran salah laku sewaktu berkempen dan pihak polis telah meluluskan 216 permit kempen,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Bahrain, sebanyak empat pusat mengundi awal bagi anggota polis di Segamat melibatkan tiga balai polis dan satu dewan.

“Empat pusat mengundi di Dewan Serbaguna Perumahan IPD Segamat, Balai Polis Labis, Balai Polis Tenang dan Balai Polis Buloh Kasap,” katanya.

Suasana di pusat Mengundi Kem Pasukan Rejimen Ke-4 Artileri Diraja (4 RAD) di Segamat hari ini.

Turut kelihatan beberapa wakil calon bersama wakil meninjau di kawasan tempat mengundi dengan eyika berpakaian yang mematuhi peraturan ditetapkan.

Sebahagaian daripada 478 anggota tentera dan pasangan Kem Pasukan Rejimen Ke-4 Artileri Diraja (4 RAD) mengundi awal di Segamat hari ini.

Manakala tinjauan MalaysiaGazette di Kem Pasukan Rejimen Ke-4 Artileri Diraja (4 RAD) di Segamat mendapati proses demokrasi itu berjalan lancar.

Salah seorang anggota tentera, Zulfaqaar Mohd Nasir, 29, selepas proses mengundi awal di Segamat hari ini.

Difahamkan seramai 304 terdiri daripada anggota tentera manakala 174 pasangan mereka keluar mengundi awal hari ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Malanakala sebanyak 522 kertas undi pos telah dikeluarkan bagi keempat-empat kategori telah dikeluarkan pada 3 Mac lalu. – MalaysiaGazette