Dua lelaki dilaporkan terperangkap dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, Perak.

IPOH – Taburan hujan yang tinggi sejak dua minggu lalu merupakan antara punca berlakunya runtuhan kuari sehingga menyebabkan dua mangsa dikhuatiri tertimbus di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini pagi tadi.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, kuari di kawasan berkenaan merupakan antara kuari yang paling aktif beroperasi di Simpang Pulai.

“Batu kapur mengandungi kalsium karbonat yang mudah larut apabila terkena air dan mengakibatkan terbentuknya rongga pada batuan terbabit. Ini menyebabkan struktur batuan berkenaan lemah dan berlakunya kegagalan muka cerun seterusnya batu boleh runtuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zukni, berkata pihaknya telah pun menghantar beberapa pegawai bagi melakukan pemantauan di lokasi kejadian.

“Peranan JMG di lokasi kejadian adalah untuk memantau keadaan di cerun runtuhan bagi memastikan ia selamat dimasuki oleh pasukan penyelamat untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat,” jelasnya.

Dua mangsa yang dipercayai tertimbus dalam kejadian itu dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, manakala dua mangsa mengalami kecederaan iaitu Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki serta Pan Tam, 38, yang hanya cedera ringan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan kuari itu ditangguhkan petang ini berikutan pergerakan tanah masih dikesan berlaku di sekitar kawasan runtuhan batu, selain keadaan faktor cuaca yang tidak mengizinkan. – Bernama