JASIN – Sebanyak 11 buah rumah di daerah ini tenggelam dalam kejadian banjir mengakibatkan 40 mangsa dipindahkan ke kawasan selamat susulan banjir kilat akibat hujan lebat sejak kelmarin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, semua mangsa ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu yang dibuka pukul 8 malam.

Menurut beliau, mangsa terlibat adalah penduduk di Kampung Parit Penghulu, Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Lanchang.

“Sebanyak lima kawasan penempatan terjejas direkodkan semalam iaitu di Rim, Kampung Chenderah, Kampung Gapis, Kampung Batang Melaka dan Kampung Terentang.

“Bagaimanapun air mulai surut dan terbaharu tiga buah kawasan iaitu di Parit Penghulu, Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Lanchang pula dilanda banjir kilat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Cuthbert John Martin Quadra

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menjangkakan jumlah mangsa terjejas akan terus meningkat terutamanya di Kampung Parit Penghulu.

“Setakat jam 8 pagi tadi, masih terdapat enam buah rumah yang tenggelam teruk di Parit Penghulu melepasi ketinggian kira-kira satu meter.

“Manakala di Kampung Tersusun Rambai Jaya pula empat buah rumah dan sebuah di Kampung Lanchang,” katanya.- MalaysiaGazette