Azwan Ali

KUALA LUMPUR – Pengacara sensasi Azwan Ali digugurkan sebagai pengacara program realiti Mic On musim kedua (Mic On 2) berkuat kuasa serta merta semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor utama demi memastikan keharmonian penerbitan program Mic On 2 dapat diteruskan dengan lancar bagi menghormati semua pihak yang terbabit.

“Pihak pengurusan Awesome TV hari ini mengambil keputusan untuk menggugurkan Azwan Ali daripada tugas pengacaraan bagi program realiti Mic On berkuat kuasa serta merta.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa pihak Awesome TV tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang hal-hal berkaitan dengan disiplin dan standard etika kerja bagi mana-mana pihak sama ada di kalangan tenaga produksi sendiri mahupun bakat yang terbabit dengan program-program terbitan kami.

“Pihak Awesome TV juga tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku atau gangguan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian. Tindakan keras akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran integriti prinsip tersebut,” katanya.

Mic On 2 yang bersiaran setiap Jumaat pukul 9 malam di Awesome TV (Astro 123) atau MyTV (112) adalah program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian komedi terbitan Awesome TV yang menampilkan tiga selebriti tanah air, Datuk Awie, Datuk Hattan dan Mas Idayu sebagai juri tetap.

Terdahulu, seramai 15 peserta berjaya diserap masuk untuk bersaing di konsert mingguan Mic On 2 bagi merebut gelaran juara.

Kesemua mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diterajui Fad Bocey, Ropie dan Ajak Shiro yang menggalas tanggungjawab selaku ‘manager’ untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan. – MalaysiaGazette