Bank Negara Malaysia (BNM) mengehadkan transaksi pengiriman wang ke keluar negara tidak melebihi RM50,000 sehari.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengehadkan transaksi pengiriman wang ke keluar negara tidak melebihi RM50,000 sehari.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, langkah berkenaan sebagai pengawalan peremitan wang ke luar negara.

Tambahnya, dalam masa yang sama, Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang (Akta 731)  telah diperkenalkan pada tahun 2011 bagi mengawal selia aktiviti perniagaan perkhidmatan wang termasuk perniagaan pengirimannya.

Katanya, di bawah akta tersebut, para peserta industri mesti dilesenkan oleh BNM dan dikehendaki mematuhi keperluan undang-undang dan pengawalseliaan dalam menjalankan aktiviti pengiriman wang.

“Ini termasuk keperluan pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan terutamanya pelaksanaan langkah usaha wajar (due diligence) ke atas pelanggan serta penyelenggaraan rekod berkenaan transaksi perniagaan pengiriman wang, bagi melindungi pengendali pengiriman wang daripada digunakan sebagai perantara untuk aktiviti penghantaran wang haram,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Pas) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan mekanisme khusus untuk mengawal selia peremitan wang ke luar negara.

Ini khususnya dalam kalangan pekerja warga asing yang mencecah RM40 bilion setiap tahun.

Menurut Yamani lagi, transaksi pengiriman wang ke luar negara juga perlu dikemukakan kepada BNM secara berkala.-MalaysiaGazette