Khairy
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kelab malam kekal menjadi satu-satunya premis yang dilarang beroperasi meskipun negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

Jelas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ini kerana kelab malam merupakan tempat yang berisiko tinggi berlakunya jangkitan Covid-19.

“Bermula 1 April, hanya satu premis sahaja yang akan berada dalam negative list masih lagi tidak boleh dibuka, iaitu kelab malam.

“Kita sudah melihat penilaian risiko, kelab malam merupakan premis yang berisiko tinggi walaupun dalam fasa peralihan endemik jadi ia kekal dalam kategori yang tidak boleh dibuka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditany status larangan pembukaan kelab malam selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik pada April.

Mengulas lanjut Khairy berkata, kerajaan perlu optimis bahawa keputusan membawa negara ke fasa peralihan endemik perlu dilakukan sehala.

Katanya ini bermakna, peralihan yang memberi kesan kepada pembukaan sempadan negara dan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lain tidak wajar ditarik semula.

Bagaimanapun jelas Menteri kesihatan itu, perkara berkenaan wajar dipertimbangkan sekiranya wujud varian baharu yang membimbangkan dan memberi kesan buruk kepada sistem kesihatan awam negara.

“Setiap negara berharap bahawa peralihan ini adalah sehala maksudnya kita tidak patah ke belakang tapi sebagai Menteri Kesihatan yang mengamalkan dasar kawalan penyakit berjangkit dan menjaga kesihatan awam, kita mestilah bersedia untuk apa sahaja kemungkinan.

“Salah satu perkaranya adalah saya menasihati Jemaah Menteri sekiranya muncul varian baharu yang lebih ganas daripada Omicron, bukan hanya Malaysia, negara lain juga harus kaji protokol,” jelas beliau. -MalaysiaGazette