Berdasarkan paten sumbangan yang diterima setakat ini, hanya 400 set iftar boleh disediakan sehari berbanding 2,000 set pada tahun lalu oleh Syiria Care.

KUALa LUMPUR – Sempena Ramadan bulan depan, Pertubuhan Syria Care melancarkan ‘OderFood’ menerusi Kempen Ramadan Al-Khair khusus untuk penyediaan makanan berbuka puasa untuk rakyat Syria yang hidup dalam keadaan daif serta serba kekurangan.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, kempen berkenaan bermula 1 Februari lalu menyasarkan kutipan RM4.2 juta yang bakal memberi manfaat kepada 720,000 orang pelarian.

“Menerusi ‘OderFood’, tempahan makanan dibuat secara atas talian melalui platform https://www.syriacare.org.my/oderfood/ dan makanan berkenaan akan terus dihantar ke Syria.

“Platform ini menyediakan dua jenis pesanan antaranya set iftar. Setiap satu set iftar berharga RM15 boleh memberi makan untuk tiga orang.

“Kami juga menyediakan pek makanan mengandungi beras, gula, teh, pasta, pes tomato dan lain-lain keperluan berharga RM150 untuk satu keluarga. Jadi ada dua pilihan yang kita sediakan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Siti Sakinah berkata, sejak dilancarkan Februari lalu, kutipan bagi kempen ini baru sahaja mencapai 20 peratus dari sasaran ditetapkan berbanding tempoh sama tahun lalu sekaligus menimbulkan kebimbangan.

Katanya, berdasarkan paten sumbangan yang diterima setakat ini, hanya 400 set iftar boleh disediakan sehari berbanding 2,000 set pada tahun lalu.

“Jika set ini mampu dikongsi sehingga tiga orang, bermakna hanya 1,200 orang saja yang dapat menikmati hidangan berbanding 6,000 orang pada tahun 2021.

“Setiap dapur kita di sana boleh menyediakan sehingga 5,000 set sehari tetapi berikutan kekangan dana..kami terpaksa kurangkan. Untuk tahun lalu, kami membuka sembilan dapur dan memandangkan situasi semasa, kami mensasarkan empat dapur dibuka pada Ramadan kali ini,” katanya.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki.

Mengulas lanjut, Siti Sakinah berkata, pandemik Covid-19 memberi kesan kepada kutipan dana pelbagai pertubuhan bukan kerajaan serta badan sukarela termasuk Syria Care.

Katanya, antara tahun 2019 hingga 2020, kutipan menurun sebanyak 18 peratus iaitu dari RM16.89 juta (RM16,894,788) ke RM13.99 juta (RM13,995,827).

“Manakala antara tahun 2020 hingga 2021, penyusutan kutipan berlaku sehingga 25 peratus dengan perolehan sumbangan sebanyak RM10.54 juta (RM10,542,765).

“Bagaimanapun, Alhamdulillah sumbangan masih diterima dan kami berharap OderFood ini mendapat sambutan sekaligus memberi kegembiraan kepada rakyat Syria,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast