Azwan Ali
Azwan Ali. foto AFIQ RAZALI, 11 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pengacara kontroversi, Azwan memberitahu dia hanya mengetahui namanya digugurkan sebagai pengacara Mic On hanya menerusi kenyataan media semalam.

Selebriti berusia 56 tahun itu juga menjelaskan tidak menerima sebarang surat rasmi daripada Awesome TV berkenaan isu tersebut.

Adik kepada Menteri Kabinet itu turut mengakui ralat dengan tindakan yang dibuat stesen televisyen terbabit yang mengeluarkan kenyataan rasmi tanpa memberitahunya terlebih dahulu.

“Tiada surat rasmi diberikan kepada saya. Saya hanya tahu nama digugurkan daripada program itu selepas berita keluar di media.

“Kenapa keluarkan press release tanpa memaklumkan kepada saya terlebih dahulu? Memang saya ada jawab panggilan daripada Pengarah Urusan Awesome TV, Johan Ishak sekitar pukul 3.30 petang semalam.

“Tapi waktu itu, saya dalam keadaan mamai, baru bangun tidur sebab makan ubat, tak berapa sihat. Saya tak marah Johan tapi ada salah seorang pengurusan yang bersikap kurang ajar dengan saya.

“Memang ada beberapa panggilan daripada pihak pengurusan tapi kalau saya tak jawab, kenapa tak mesej saja di WhatsApp?” katanya memetik laporan mStar.

Azwan atau mesra disapa Diva AA menambah, dia sebenarnya sudah tawar hati untuk meneruskan kerjanya sebagai hos sejak minggu lepas lagi.

“Ikutkan saya memang dah give up nak buat program itu dari minggu lepas. Bila hati dah retak sebab benda seolah-olah nama besar Diva AA diperlekehkan untuk rating.

“Mesti pihak mereka menafikan tapi itulah hakikatnya. Saya dalam bidang ini sudah lebih 33 tahun, bukan kemahsyuran yang saya cari.

“Yang saya cari, bekerja dengan produksi hebat, hormat satu sama lain dan tidak mempergunakan saya,” ujarnya.

Selain itu, Azwan turut menuntut jumlah baki bayaran yang tertunggak seperti yang telah dijanjikan dan meminta pihak produksi berhenti mengeluarkan kenyataan mengaibkan nama baiknya.

“Saya tetap akan tuntut bayaran yang sepatutnya. Jangan jadi seperti tahun lali, saya seperti minta sedekah untuk dapatkan baki bayaran.

“Bagi saya, jumlah bayaran itu tak penting. Tapi kederat orang dah kikis, tolong bayar. Selain itu, saya tuntut mereka untuk ‘shut up’!”

“Kalau menekan masih mengeluarkan kenyataan, saya akan ambil tindakan. Sekarang ini saya sudah berbincang dengan peguam untuk saman kenyataan mereka yang mengaibkan saya,” tegas Azwan.

Terdahulu,  pihak pengurusan Awesome TV ada menyatakan yang Azwan digugurkan secara serta-merta setelah mengambil kira beberapa faktor utama demi memastikan keharmonian penerbitan keseluruhan program MIC ON! untuk musim ini dapat diteruskan dengan lancar bagi menghormati semua pihak yang terlibat.

Jadi, program yang bersiaran setiap Jumaat pukul 9.00 malam akan diteruskan seorang diri oleh satu lagi pengacara iaitu Issey Fazlisham yang sebelum ini digandingkan bersama selebriti senior itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast