Calon dari parti PEJUANG DUN N.38 Penawar, Rahmatullah Kamilin beramah mesra dengan penduduk sekitar Penawar ketika mengadakan walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bandar Penawar, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 27 FEBRUARI 2022.

DESARU – Peratusan keluar mengundi awal yang mencecah 87 peratus melibatkan 18,625 pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam diharapkan dapat dikekalkan hingga hari mengundi pada 12 Mac ini.

Walaupun peratusan keluar mengundi itu dilihat tinggi, namun berlaku sedikit penurunan berbanding proses undi awal dalam PRN Melaka yang mencecah 89.9 peratus pada 16 November tahun lepas.

Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rahmattullah Kamilin bagaimanapun tidak melihat penurunan itu satu signal bahawa pengundi-pengundi Johor tidak mahu melakukan perubahan.

“Syukur Alhamdulillah, 87 peratus pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka. Saya berharap momentum kesedaran keperluan untuk keluar mengundi berterusan bagi hari pengundian pada 12 Mac 2022.

“Sedikit sebanyak secara datanya ia memberi isyarat seolah-olah akan berlaku penurunan. Saya yakin dan percaya pengundi di Johor akan turun mengundi atas kesedaran mahu lakukan perubahan.

“Perubahan ini hanya dapat dijayakan dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebanyak 87 peratus atau 18,625 pengundi awal pada PRN Johor menjalankan tanggungjawab masing-masing sejak pusat pembuangan undi dibuka jam 8 pagi semalam.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, pengundi awal itu membabitkan anggota tentera dan pasangan serta anggota polis dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sebelum ini, SPR memaklumkan sebanyak 63 pusat mengundi membabitkan 83 saluran dibuka bermula 8 pagi semalam bagi proses pengundian awal PRN Johor.

Dalam pada itu, Rahmattullah berkata, rakyat Johor yang layak mengundi disaran untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengundi bagi memberi mandat kepada kerajaan baharu.

“Sebuah kerajaan yang menjadi cerminan sokongan sebenar rakyat tidak dapat direalisasikan jika peratusan keluar mengundi rendah.

“Pesanan saya kepada semua yang akan pulang mengundi, berhati-hati di jalan raya ketika memandu untuk pulang mengundi serta patuhi SOP pencegahan Covid-19,” katanya.

Bekas pegawai Tentera Laut DiRaja (TLDM) itu juga tidak menafikan pengundi baharu berusia 18 tahun bakal menjadi penentu kepada mana-mana parti yang membentuk Kerajaan Negeri Johor.

“Saya mengharapkan golongan muda kali pertama menimbang pilihan sedia ada dengan rasional dan tepat.

“Ini kerana pilihan mereka akan pastinya akan turut memberi kesan besar dalam menentukan parti yang akan membentuk kerajaan.

“Harapan dan doa saya, sudah pasti untuk pengundi memilih Pejuang kerana kami menawarkan kestabilan kerajaan yang bakal terbentuk secara pakej bersama nilai integriti dan tadbir urus baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette