PASANGAN adik beradik, Mohd Khairul Nizam Wahiddin (berkerusi roda) dan Siti Suriani, menerima plak pencapaian Gladiator Award daripada Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman sambil disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah RichWorks International Sdn Bhd. Datuk Jerry Rizal di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Di sebalik tekanan berganda akibat pandemik Covid-19, seramai 1,885 usahawan yang dibimbing syarikat RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), berjaya merekodkan jualan terkumpul sebanyak RM3.7 bilion sepanjang tempoh 2021.

Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd. berkata, sebanyak RM3.21 bilion jualan dihasilkan oleh usahawan yang dibimbing melalui program eksklusif Titanium manakala usahawan-usahawan program Spire dan Elite-X masing-masing merekodkan jualan RM495 juta dan RM46.9 juta.

“Usahawan yang dibimbing secara intensif melalui program Titanium merekodkan jualan RM2.27 bilion pada 2020 berbanding hanya RM901 juta pada 2019. Peningkatan jualan usahawan Titanium dari 2020 ke 2021 adalah sebanyak 41 peratus.

“Kesemua jualan Titanium sepanjang 2021 membabitkan 312 usahawan bersamaan 268 bisnes. Daripada jumlah itu, 85 peratus atau 227 bisnes usahawan Titanium merekodkan peningkatan jualan berbanding tahun sebelumnya,” kata Radz.

Tambah beliau, pencapaian itu sangat membanggakan berikutan ramai syarikat berhadapan krisis sehingga ada yang terpaksa membuang pekerja dan gulung tikar namun usahawan bimbingan RichWorks merekodkan jualan berganda.

Untuk rekod, seramai 77 usahawan Titanium merekodkan jualan lebih RM10 juta, jualan RM50 juta (lima usahawan) dan jualan lebih RM100 juta (lima usahawan).

Sebagai menghargai pencapaian luar biasa itu, kata Radz, RichWorks meraikan 184 usahawan membabitkan 141 perniagaan dalam program RichWorks Titanium Gala Awards di KL Convention Centre semalam.

Pasangan suami isteri, Mohd Hasbullah Awang dan Nuriah Zakaria yang mengasaskan syarikat Hasnuri Sdn Bhd. menerima anugerah Knight Award berikutan rekod jualan sebanyak RM58.8 juta pada tahun 2021.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Lembaga Pengarah RichWorks, Datuk Jerry Rizal.

Sementara itu, Mentor Usahawan dan pengasas RirchWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman dalam ucapan alu-aluannya berkata, angka-angka pencapaian usahawan Titanium itu membuktikan pandemik, krisis, bencana, malapetaka merupakan cabaran banyak manusia hadapi yang boleh dihadapi dengan mencari jalan.

“RichWorks banyak anjurkan program percuma (sejak awal pandemik pada 2020) hampir setiap hari dan setiap minggu ada program percuma, sebab saya tahu ramai orang sangat takut, masih keliru, risau dan hilang arah tuju ketika itu.

Pengasas syarikat Sabella Holdings Sdn Bhd yang memasarkan busana wanita jenama Sabella, Siti Fatimah Abd. Samat dan suaminya, Mohd. Sufian Sulaiman menyampaikan ucapan penghargaan sempena penerimaan anugerah Knight Award di KL Convention Centre di ibu negara semalam.

“Keutamaan saya tetap kepada Titan (usahawan Titanium). RichWorks dari hari pertama lagi PKP dikuatkuasakan, berhubung dengan semua Titan dan students Mentorship kami untuk kenal pasti situasi mereka dan apa tindakan yang perlu diambil untuk bantu dan bimbing mereka dalam krisis dan hari ini, malam ini, saya rasa sangat bangga dan sangat bersyukur dapat meraikan kejayaan anda,” jelasnya.

Dalam majlis yang sama, Azizan turut melancarkan buku Bangkit Bisnes Dari Krisis yang digarap hasil analisis RichWorks terhadap bisnes yang berhadapan krisis pandemik tetapi berjaya bangkit.

“Ini adalah perkongsian ikhlas saya untuk semua bakal usahawan mahupun yang telah sekian lama bergelar usahawan, tetapi diuji seribu satu dugaan di fasa pandemik mahupun endemik ini.

“Buku ini amat istimewa dan dekat di hati saya kerana segala catatan dalam naskah ini, bumbu dan inti patinya disaring daripada perkongsian saya yang terdahulu sepanjang PKP hingga kini.

“Tidak terkecuali kepada bakal usahawan-usahawan muda yang baru bertunas, segala tips, bimbingan, rahsia perniagaan berjaya yang dikongsi melalui buku ini adalah khusus untuk anda,” katanya.- MalaysiaGazette